Bantal busuk teman tidur
Rupanya buruk, baunya busuk. Tetapi bagi sesetengah kanak-kanak, inilah teman setia mereka. Tanpanya mereka akan gelisah, menangis dan tidak boleh tidur.
Dijinjing ke mana sahaja tanpa rasa malu, sama ada dalam bentuk bantal, anak patung atau kain. Semua objek ini adalah kesayangannya sejak kecil lagi dan agak sukar untuk dipisahkan.
Jika tidak dipisahkan dengan objek ini, kemungkinan akan berlarutan sehingga melangkah remaja dan dewasa.
Namun, fenomena biasa yang sering kita lihat ialah perlakuan menjinjing bantal kegemarannya yang dipanggil bantal busuk ke mana sahaja iaitu bantal yang menjadi temannya ketika tidur semenjak bayi lagi.
Bahkan, penulis turut mempunyai anak yang mempunyai bantal busuk yang hampir sama dengan usia anak, hanya diganti sarung setiap sebulan sekali. Tetapi hendak dibuang atau dibasuh bantal itu, janganlah dibuat kerana akan menyebabkan anak gelisah dan menangis.
Bantal itu mungkin sudah lusuh, buruk dan berbau kerana sudah terlalu lama digunakan tetapi kanak-kanak ini masih perlukannya untuk tidur. Malah, bantal ini perlu dibawa oleh ibu bapa ke mana-mana sahaja supaya tidak timbul masalah semasa kanak-kanak ini mahu tidur nanti.
Dipercayai tabiat mempunyai bantal busuk menjelang tidur bukan disebabkan oleh faktor genetik mahupun personaliti sesebuah keluarga. Ia suatu perbuatan yang sudah terbiasa sejak kecil lagi.
Pensyarah dan Pakar Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja, Jabatan Psikiatri, Fakulti Perubatan, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Wan Salwina Wan Ismail berkata, bantal kegemarannya ini berfungsi sebagai transitional object. Ia seolah-olah memberi perlindungan dan anak-anak akan merasa selamat apabila objek ini berada di sisinya.
”Mereka telah biasa dengan bau dan rupa serta selesa dengan bantal itu apabila hendak tidur. Jika dibasuh atau diganti dengan yang lain, anak tidak mudah tidur dan sering teringat dengan bantal busuknya,” katanya ketika ditemui di Bandar Tun Razak, baru-baru ini.
Menurut Dr. Wan Salwina, transitional object tidak semestinya bantal, boleh jadi objek lain seperti anak patung kegemaran anak-anak, selimut dan sebagainya.
”Sebagai contoh, sejak kecil ibu bapa telah membelikan anak patung sebagai permainan anak perempuan mereka. Disebabkan itulah maka anak itu lebih gemar bermain anak patung berbanding permainan yang lain dan kebanyakan kanak-kanak perempuan gemar menjadikan anak patung yang lembut dijadikan teman ataupun dipanggil ‘bantal busuk’,” ujarnya.
Ada juga berpendapat, selimut dan kain napkin yang digunakan juga sering dijadikan bahan heretan ke mana sahaja anak ini pergi.
Justeru itu, boleh dikatakan setiap kanak-kanak mempunyai transitional object yang tersendiri bagi membuatkan mereka berasa selesa dan selamat walaupun ketika berjauhan dengan ibu bapa.
Oleh SADATUL MAHIRAN ROSLI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan